Monday, 22 January 2018

Art Dadih Ice Cream Sasar 20 Francaisi Pada Tahun 2018

Kepala Batas: Azliz Enterprise pengeluar Art Dadih Ice Cream merangka pelan pemasaran lebih tersusun termasuk menggunakan konsep ala francais bagi membolehkan lebih ramai peniaga Bumiputera terbabit dalam perniagaan ais krim.

AZHAR (kanan) bersama pekerjanya menyediakan Art Dadih Ice Cream

Syarikat Bumiputera itu yang beroperasi di Perda Bumbung Lima, dekat sini, sebelum ini mencipta fenomena Dadih Cikedut yang popular di pantai timur.

Pengurus Azliz Enterprise, Azhar Kasim berkata, pihaknya merancang menggunakan konsep ala francais bagi membolehkan Art Dadih Ice Cream dijual dengan lebih berkesan.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dalam usaha melaksanakan konsep berkenaan dalam perniagaan ais krim.

“Ketika ini, lima individu menyatakan minat untuk menjadi francaisi dan kami menyasarkan 20 francaisi dilantik pada tahun depan.

“Francaisi dipilih dari Pulau Pinang serta Kedah dan jumlahnya dikawal bagi mengelakkan pertembungan lokasi perniagaan,” katanya.

Art Dadih Ice Cream didatangkan dalam lima perisa asli iaitu durian, oreo, coklat, vanila dan strawberi manakala tiga perisa tambahan bagi dadih iaitu jagung, mangga dan keladi. Dadih cikedut dijual pada harga RM3.50 sebotol (atau pakej 3 botol RM10), ais krim kon (RM1) manakala ais krim plus dadih (RM3).


Azhar berkata, pakej ala francais bagi produk ais krim membabitkan modal antara RM6,000 hingga RM7,000 dan francaisi akan diberi kios kecil, kain rentang serta peti sejuk dan mereka yang berminat boleh melayari Facebook Art Dadih.

“Masih kurang Bumiputera menceburi perniagaan ais krim menyebabkan kami menggunakan konsep ala francais supaya lebih ramai berpeluang menceburi perniagaan itu. Francaisi boleh memilih lokasi perniagaan sendiri kerana mereka tahu tempat menjadi tumpuan ramai,” katanya.

Selain serbuk dadih yang memasuki pasaran Singapura Januari tahun depan, hasil kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), premis bagi produk Art Dadih Ice Cream pula akan dibuka di Sabah dan Brunei.

Sumber asal - Harian Metro

Related Posts

Art Dadih Ice Cream Sasar 20 Francaisi Pada Tahun 2018
4/ 5
Oleh