-->

Dulu Seorang Jurutera, Kini Peniaga Aiskrim Berjaya!

- February 19, 2018
Dari segi kelulusan, Rosdiadi Ramli, 37, boleh sahaja memilih untuk terus bekerja sebagai jurutera, namun minat terhadap perniagaan aiskrim mendorongnya beralih arah, sekali gus meninggalkan kerjaya lama itu.

Pembuat aiskrim dan pemilik kilang Bedhills Creamy itu berkata, dia bersepakat bersama isteri, Nurul Hidayah Arshad, 34, yang sebelum ini bekerja sebagai pensyarah di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) untuk menceburi bidang berkenaan dengan lebih jauh.

Selepas tiga tahun menjadi jurutera pembuatan di sebuah syarikat swasta, Rosdiadi berkata, dia mula berjinak dengan perniagaan popia dan samosa di bazar Ramadan pada 2007 selepas menyedari pulangan dalam perniagaan lebih besar, berbanding makan gaji.

Katanya, pada ketika itu dia dan isteri mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi memberi fokus dalam perniagaan popia dan samosa di pasar malam, bazar Ramadan, pasar tani, selain membuka gerai tepi jalan.

Dulu Seorang Jurutera, Kini Peniaga Aiskrim Berjaya!

"Pada 2011, saya menumpukan kepada perniagaan aiskrim pula selepas isteri mengikuti kursus pembuatan (aiskrim) dan bermulalah episod sebagai pembuat dan peniaga aiskrim di sekitar Melaka.

"Keputusan itu (berniaga aiskrim) diambil selepas kami berbincang mengenai produk yang sentiasa dicari oleh masyarakat, terutama bersih dan halal untuk dinikmati.

"Hal ini kerana kami pernah membeli aiskrim, namun ditegah oleh kakitangan kedai yang mendakwa aiskrim yang dipilih itu mengandungi bahan alkohol, sekali gus menguatkan lagi impian untuk menjadi pembekal aiskrim Bumiputera yang memberi jaminan kebersihan," katanya yang sebelum ini pernah kerugian lebih RM100,000.

Tidak menoleh ke belakang, anak jati dari Kedah itu hanya menyarung baju T dan seluar panjang mula menunggang motosikal 'ditemani' tong aiskrim menunggu waktu tamat persekolahan di sekolah rendah dan menengah setiap hari demi mencari rezeki.

Dulu Seorang Jurutera, Kini Peniaga Aiskrim Berjaya!

Dulu Seorang Jurutera, Kini Peniaga Aiskrim Berjaya!

"Saya tidak kisah berpanas kerana ini keputusan yang diambil dan berbekalkan ilmu kursus yang diikuti isteri, saya memulakan perniagaan aiskrim.

"Namun, sehari selepas itu kami menyedari bahawa pembuatan aiskrim yang diajar hanya boleh bertahan sehari," katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata berusia dua hingga 10 tahun itu berkata, pernah sekali berlaku peristiwa motosikal yang ditunggangnya kehabisan petrol dalam keadaan belum ada pembeli.

Selepas itu, Rosdiadi dan isterinya melakukan kajian dan penyelidikan terhadap bahan yang boleh menjadikan aiskrim berkualiti dan tidak memualkan.

Kini, Bedhills Creamery yang terletak di Kompleks Niaga Melaka Perdana menyediakan lebih 20 jenis perisa aiskrim dengan penggunaan bahan asli antaranya, Durian, Salted Caramel Almond, Double Choc, Coconut Whita Choc, Caramel Candy, Black Cookies Mint, Honey Comb Vanilla, Cookies Monster dan Vanilla Bean.

Dulu Seorang Jurutera, Kini Peniaga Aiskrim Berjaya!

Dulu Seorang Jurutera, Kini Peniaga Aiskrim Berjaya!

Selain itu, syarikat terbabit turut menyediakan aiskrim perisa buah-buahan mengikut jumlah permintaan kerana menggunakan buahan-buahan asli seperti mangga dan strawberi bagi memastikan kualiti aiskrim yang dihasilkan.

Rosdiadi berkata, usaha beliau dan isteri membuahkan hasil apabila pada 2010 berjaya menghasilkan produk aiskrim setaraf dengan jenama terkenal lain seperti Baskin Robbins dan Haagen Dazs.

"Alhamdulillah, sekarang saya mempunyai empat pekerja dan mampu meraih pendapatan sehingga RM350,000 setahun meskipun aiskrim berkualiti tinggi ini dijual pada harga yang berpatutan.

"Walaupun angkanya tidak sebesar perniagaan lain, namun saya gembira dengan perniagaan ini kerana mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga.

Dulu Seorang Jurutera, Kini Peniaga Aiskrim Berjaya!

"Pada usia 37 tahun, bukan lagi masa untuk saya melompat ke sana sini mencari pekerjaan kerana saya pasti dengan sokongan orang yang disayangi, pasti boleh berjaya dan tidak mengenal erti putus asa," katanya yang sebelum ini pernah diarah keluar oleh pemilik rumah sewa disebabkan gangguan bunyi mesin membuat aiskrim.

Sumber - Berita Harian

Advertisement


EmoticonEmoticon

 

Start typing and press Enter to search